Sedikit pandangan tentang perancangan blog
Cerita blog kali ini ialah tentang perancangan untuk membina blog sendiri. Nak rancang pun boleh, tak nak merancang pun boleh. Cuma pengalaman saya kalau tak dirancang, banyak perkara yang tertinggal dan tidak dapat dibuat dengan sistematik. Merancang itu dapat memberikan wawasan yang lebih baik terhadap pengkhususan subjek yang kita perkatakan dan membolehkan kita melahirkan idea-idea kita kepada pembaca dengan lebih teratur. Merancang itu membolehkan kita berfikir dengan mendalam sebab-sebab kenapa kita perlu mempunyai blog kita sendiri dan kemanakah arah hala tujunya serta siapakah pembacanya.
Persoalan-persoalan di atas itu akan membawa kita berfikir selanjutnya tentang apakah produk yang hendak kita berikan kepada pelanggan atau pembaca yang kita tentukan itu. Ini akan berkait rapat dengan apakah produk kita itu cukup memberikan manfaat kepada mereka ataupun sebaliknya. Bagaimanapun soal pokoknya ialah sama ada kita sendiri sebagai penulis blog tersebut cukup bersedia untuk memberikan sumbangan yang berterusan kepada pelanggan kita. Ini amat penting untuk menentukan blog kita sentiasa dikemaskinikan dan menarik bagi mendapat kunjungan yang diharapkan.
Gunakan carian Google untuk mencari apa yang pelanggan kita paling inginkan atau perlukan, dan apa yang dilakukan pesaing kita setakat ini untuk memenohi keperluan mereka akan merupakan satu kajian yang amat berguna. Setidak-tidaknya ini akan memberi kita lebih banyak idea untuk ditulis atau ditambah ke dalam blog kita.
Bergabung atau menjadi ahli beberapa forum dan menyertai perbincangan di forum-forum berkenaan akan dapat membantu kita mengetahui apakah perkara-perkara yang masih merupakan masalah yang memerlukan penyelesaian ataupun maklumat yang masih diperlukan oleh ramai orang. Menyumbang idea atau maklumat tentang apa yang orang lain inginkan atau lakukan, adalah kunci kepada kejayaan kita.








